Semasa pendudukan Jepun, Keris Mas bekerja sebagai kerani di gudang percetakan Dai Nippon Insatsu di Singapura. Sesudah Perang Dunia II, beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang, dan terlibat secara aktif dalam cawangannya di Singapura. Dalam parti, beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Penerangan. Beliau juga bekerja dengan beberapa surat khabar seperti Melayu Raya, Warta Negara (sehingga 1956), dan Utusan Melayu in Singapura (sebagai Editor Penerbitan). Beliau dianggap sebagai salah seorang tokoh yang telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman.
Pada Disember 1956, Keris Mas menjadi Pengarang Umum di Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru dibentuk dan sebelum bersara pada 10 Jun 1977 beliau memegang jawatan Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Selepas bersara, beliau menjadi ‘Penulis Tamu’ di Universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Karya pertama beliau berjudul ‘Wasiat Orang Bangsawan’, tersiar dalam Suluh Malaya, 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963), Pertentangan (1968). Novel-novel beliau pula ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983), dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin ke Bahasa Inggeris dengan judul 'Jungle of Hope'; novel itu kini menjadi salah satu teks kajian komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Di samping itu, antologi cerpen Patah Tumbuh juga pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.
Selain karya kreatif, SN Keris Mas juga menghasilkan karya ilmiah yang berjudul, Perbincangan Gaya Bahasa Sastera yang cuba menggariskan secara ringkas sejarah dan perkembangan kajian pendekatan stilistik terhadap teks sastera yang bertolak dari pendekatan cara tradisional hingga stilistik moden yang lebih objektif dan saintifik.
Sebagai penggiat sastera, Keris Mas adalah salah seorang tokoh ASAS 50 yang penting dan beberapa kali dilantik sebagai Ketua Satu ASAS 50. Semasa berkhidmat di DBP, beliau turut dalam Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Keris Mas sentiasa dianggap ‘graduan’ ASAS 50 yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam perkembangan cerpen, terutama sehingga tahun-tahun 1960-an. Karya-karya beliau begitu jelas dan kuat kesan penyuaraan keadilan sosial dengan watak-watak manusia yang hidup. Hal ini bersesuaian dengan pendapat beliau yang menyatakan, “... cerpen yang ditulis dengan baik.... dapat meningkatkan kesedaran pembaca dan merangsang proses pemikiran yang matang.”
Selepas itu dia dilantik sebagai Penulis Tamu DBP (1 Julai 1977 hingga 30 September 1978), Karyawan Seni, Universiti Malaya (1979-1980) dan Penulis Tamu DBP (1985-1986).Bagi menghargai jasa dan sumbangan Keris Mas dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pejuang Sastera (1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981 (Penerima Pertama). Beliau telah turut menerima anugerah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1989. Pada tahun 1987, beliau menerima Anugerah ASEAN (dalam bidang kesusasteraan).
b. keistimewaan ketokohan dan karya-karya, dan [12]
c. sumbangan beliau dalam memperjuangkan gagasan ‘sastera untuk masyarakat’ [8]
Soalan 922/2 No. 6 (1999)