Sabtu, 23 Mei 2009

PENA MAGIS: SOALAN ESEI UMUM "FAVOURITE" 2009 (NOVEL)

SOALAN esei bagi Kertas 922 Kesusasteraan Melayu akan menguji keupayaan sebenar anda sebagai seorang 'peminat sastera'.  Meskipun, pada umumnya penulisan esei bagi maksud peperiksaan agak piawai sifatnya yakni mempunyai lima isi, ada huraian dan contoh, namun kemahiran menyelitkan 'roh sastera' akan membezakan esei anda dengan esei calon bagi subjek lain. 'Roh sastera' yang saya maksudkan ini ialah kemahiran memasukkan pendapat 'tokoh-tokoh sastera'.  Berkaitan dengan ini juga ialah kebolehan membuat perbandingan aspek seni tertentu melibatkan beberapa buah karya atau membandingkan sesama tokoh/watak yang menonjol dalam pengkaryaan penulisan kreatif. Guru anda pasti ada penjelasan tentang hal ini jika anda bertanya.

      Sehubungan itu, pelajar diharapkan mampu dan sentiasa berlatih menulis esei yang memenuhi tuntutan para pemeriksa Kertas 922 STPM.

     Berikut ialah beberapa soalan yang wajar dikuasai oleh para pelajar.

1.  Novel SBDKL, Keris Mas memaparkan kejayaan orang Melayu dalam dunia perniagaan. Jelaskan dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai.

2. Dalam novel SBDKL, Keris Mas menonjolkan sifat usahawan yang berjaya. Berdasarkan watak utama novel ini, jelaskan pernyataan ini.

3. Perkongsian dan usaha sama Melayu-kaum lain dalam urusan perniagaan diberi perhatian luar biasa oleh Keris Mas dalam novel SBDKL. Jelaskan.

4. Pertentangan disebabkan 'jurang generasi' ditonjolkan oleh  Keris Mas dalam novel SBDKL. Jelaskan. 

5. Persoalan tentang ekonomi digarap oleh Keris Mas dalam SBDKL. Bincangkan.

6. Sejauh manakah Keris Mas berusaha menonjolkan tema perpaduan kaum dalam novel SBDKL. Berikan contoh-contoh yang sesuai.

7. Sejauh manakah persoalan tentang politik digarap oleh Keris Mas dalam SBDKL? Jelaskan dengan contoh yang sesuai. 

8. Salah satu kejayaan Keris Mas dalam SBDKL ialah persoalan sosial dan budaya. Jelaskan dengan contoh yang sesuai.

9. Keris Mas menjadi novel SBDKL sebagai wadah dakwah Islamiah. Jelaskan dengan contoh yang sesuai.

10.  Unsur konflik dalam SBDKL menjadikan cerita SBDKL lebih menarik. Jelaskan dengan contoh yang sesuai. 

11. Unsur konflik dalam SBDKL menonjolkan permasalahan sosial masyarakat Melayu. Jelaskan dengan contoh yang sesuai. 

12. Keris Mas telah menjadikan SBDKL sebagai wahana kritikan sosial. Jelaskan dengan contoh yang sesuai.

13. Berdasarkan watak Encik Muhammad dalam SBDKL, bagaimanakah Keris Mas menjadikan novel SBDKL sebagai wadah kritikan sosial?

14. Berdasarkan watak golongan agama dalam SBDKL, bagaimanakah Keris Mas menjadikan novel SBDKL sebagai wadah kritikan sosial?

15. Berdasarkan watak Sudin dalam SBDKL, bagaimanakah Keris Mas menjadikan novel SBDKL sebagai wadah kritikan sosial?

16. Kehadiran watak YB Muhd. Yusuf dalam novel SBDKL adalah cara bagi Keris Mas menyatakan kritikan sosial. Jelaskan dengan contoh yang sesuai.

17.   Novel SBDKL karya Keris Mas mengetengahkan unsur saspens yang menarik perhatian pembaca. Jelaskan pernyataan ini.

18.  Novel SBDKL karya Keris Mas mengetengahkan unsur kejutan yang menarik perhatian pembaca. Jelaskan pernyataan ini.

19. Dalam novel SBDKL terdapat teknik yang digunakan oleh pengarangnya. Bincangkan.

20. Dalam novel SBDKL, Keris Mas telah memasukkan unsur-unsur sejarah. Buktikan. 

21. Banyak nilai-nilai positif diketengahkan oleh Keris Mas dalam SBDKL. Jelaskan nilai-nilai tersebut dan contoh peristiwa dalam novel ini.

22. Teknik imbas kembali dan imbas muka agak ketara dalam novel SBDKL.  Huraikan dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai.

(c) WG

TARGET & SKOR 'A' BAGI 922 KESUSASTERAAN MELAYU

TAHNIAH sebab mengambil keputusan menduduki Kertas 922 Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM. Blog ini diwujudkan sebagai satu ruang dan peluang kepada para calon Kertas 922 mendapatkan maklumat tentang Kertas 922 Kesusasteraan Melayu (terutama bagi para pelajar saya di SMKDPMSR).   Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera maka hal itu akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan anda di peringkat Peperiksaan Awam STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini dan anda masih di Tingkatan Enam Rendah, nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain. Bagaimanapun, jika anda sudah berada di kelas ini melebihi setahun, nasihat saya: Tak perlu menoleh ke belakang; sama ada berminat atau tidak, takluki kelemahan anda dan fokus kepada strategi 'meraih' markah daripada pemeriksa STPM bagi Kertas 922 Kesusasteraan Melayu.     

       Sesekali jangan lupa, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM ini ialah bagi membolehkan pelajar:(a) memahami konsep asas kesusasteraan; (b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan   sifat kesusasteraan Melayu; (c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan; (d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan; (e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera; (f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera; (g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis; (h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan; (i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

     Sebagai guru, saya selalu percaya fokus dan persediaan serapi mungkin amat penting demi keberhasilan seseorang pelajar, bukan sahaja bagi Kertas 922 bahkan juga kertas STPM yang lain. Seandainya masa kira-kira dua tahun sebagai pelajar Pra-Universiti tidak diisi dengan kemahiran yang dapat mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam.  Sentiasalah berkunjung ke blog ini atau 'mengintimkan' diri pelajar dengan maklumat dari blog (rujuk arkib blog ini) ini kerana saya akan sentiasa berusaha memberi segala sesuatu semampu saya yang dapat membantu menyokong usaha penataran keperkasaan Kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

     Percaya dengan saya, anda tidak akan menyesali setiap detik yang anda telah habiskan untuk bergelut dengan ujana kesusasteraan tanah air kita. Di situ bersimpuh akar budaya dan runut jati diri kita sebagai manusia Nusantara dari Malaysia. Memang tidak semua daripada ujana kesusasteraan itu dapat sungguh-sungguh kita kenal namun setidak-tidaknya hal ini menjadikan kita agak berbeza dalam cara yang istimewa. Apakah pada usia Tingkatan Enam, para pelajar masih takut untuk menjadi dan dianggap berbeza daripada pelajar biasa?

     Mari kita takluki setiap teks dan maklumat yang membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM. 

    Saya mengalu-alukan pendapat dan usaha pelajar mengemukakan kemusykilan berkenaan Kertas 922 STPM kepada saya (ecikguwitz@yahoo.com).  Saya akan cuba menjawab semampu saya.

    Salam sukses.