Khamis, 21 Mei 2009

PENA MAGIS: KERIS MAS PENGARANG SBDKL


KERIS MAS dilahirkan sebagai Kamaluddin Muhammad di Kampung Ketari, Bentong, Pahang dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di kampungnya sebelum ke Sekolah Tawalib di Sumatera dan seterusnya Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam) yang membolehkannya mendapat Diploma Perguruan. Ayah Keris mengharapkan anaknya ini akan mengajar agama. Bagaimanapun, hajat ini tidak kesampaian. Apabila kembali ke Malaya pada 1940, dia ke Singapura dan belajar di Pitman’s College yang akan membolehkannya (jika tamat dan lulus) mendaftarkan diri untuk memasuki peperiksaan matrikulasi London University (University of London Matriculation Examinations) serta dikecualikan daripada peperiksaan Cambdrige. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya kerana sebelum sempat tamat, Perang Dunia II meletus, dan pengajiannya terbantut. 

        Semasa pendudukan Jepun, Keris Mas bekerja sebagai kerani di gudang percetakan Dai Nippon Insatsu di Singapura. Sesudah Perang Dunia II, beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang, dan terlibat secara aktif dalam cawangannya di Singapura. Dalam parti, beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Penerangan. Beliau juga bekerja dengan beberapa surat khabar seperti Melayu Raya, Warta Negara (sehingga 1956), dan Utusan Melayu in Singapura (sebagai Editor Penerbitan). Beliau dianggap sebagai salah seorang tokoh yang telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman.

     Pada Disember 1956, Keris Mas menjadi Pengarang Umum di Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru dibentuk dan sebelum bersara pada 10 Jun 1977 beliau memegang jawatan Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Selepas bersara, beliau menjadi ‘Penulis Tamu’ di Universiti Malaya dan di Dewan Bahasa dan Pustaka.  

      Karya pertama beliau berjudul ‘Wasiat Orang Bangsawan’, tersiar dalam Suluh Malaya, 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963), Pertentangan (1968). Novel-novel beliau pula ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1983), dan Rimba Harapan (1985).  Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin ke Bahasa Inggeris dengan judul 'Jungle of Hope'; novel itu kini menjadi salah satu teks kajian komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat SPM.  Di samping itu, antologi cerpen Patah Tumbuh juga pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.

     Selain karya kreatif, SN Keris Mas juga menghasilkan karya ilmiah yang berjudul, Perbincangan Gaya Bahasa Sastera yang cuba menggariskan secara ringkas sejarah dan perkembangan kajian pendekatan stilistik terhadap teks sastera yang bertolak dari pendekatan cara tradisional hingga stilistik moden yang lebih objektif dan saintifik. 

     Sebagai penggiat sastera, Keris Mas adalah salah seorang tokoh ASAS 50 yang penting dan beberapa kali dilantik sebagai Ketua Satu ASAS 50. Semasa berkhidmat di DBP, beliau turut dalam Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Keris Mas sentiasa dianggap ‘graduan’ ASAS 50 yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam perkembangan cerpen, terutama sehingga tahun-tahun 1960-an. Karya-karya beliau begitu jelas dan kuat kesan penyuaraan keadilan sosial dengan watak-watak manusia yang hidup. Hal ini bersesuaian dengan pendapat beliau yang menyatakan, “... cerpen yang ditulis dengan baik.... dapat meningkatkan kesedaran pembaca dan merangsang proses pemikiran yang matang.”

     Selepas itu dia dilantik sebagai Penulis Tamu DBP (1 Julai 1977 hingga 30 September 1978), Karyawan Seni, Universiti Malaya (1979-1980) dan Penulis Tamu DBP (1985-1986).Bagi menghargai jasa dan sumbangan Keris Mas dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pejuang Sastera (1976) dan Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981 (Penerima Pertama). Beliau telah turut menerima anugerah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1989. Pada tahun 1987, beliau menerima Anugerah ASEAN (dalam bidang kesusasteraan). 

     Keris Mas meninggal dunia pada tahun 09 Mac 1992 kerana sakit jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim di Bukit Kiara.

Soalan tentang biodata lazimnya dikemukakan dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden Malaysia. SN Keris Mas adalah tokoh yang penting dalam ujana kesusasteraan tanah air sebelum dan selepas perang. Kedudukannya amat istimewa lebih-lebih lagi atas status beliau sebagai Sasterawan Negara. Contoh soalan ialah:
Keris Mas ialah Sasterawan Negara yang telah meningkatkan perkembangan kesusasteraan Melayu Moden.” Huraikan:
a.   latar kehidupannya, [5]
b.   keistimewaan ketokohan dan karya-karya, dan [12]
c.   sumbangan beliau dalam memperjuangkan gagasan ‘sastera untuk masyarakat’ [8]
                                                                                                                         Soalan 922/2 No. 6 (1999)
     Disebabkan soalan tentang SN Keris Mas keluar sebelum 2004 (teks berbeza pada masa itu), maka maklumat SN Keris Mas masih relevan untuk ditelaah.
   
    Sebenarnya apabila soalan menyentuh tentang tokoh, tiga maklumat di atas akan diminta. Jangan lupa ada banyak tokoh yang memerlukan perhatian kita.  Dalam bidang sejarah Kesusasteraan Melayu Moden, sila bersedia dengan maklumat berkenaan tokoh-tokoh seperti:
i.     Ishak Haji Muhammad (Idiosinkrasi: nasionalisme)
ii.    Abdullah Munsyi (Idiosinkrasi:kritikan sosial)
iii.   Ahmad Rasyid Talu (Idiosinkrasi: pelopor peMelayuan novel/pernah disoal:2002
iv.   Abd. Rahim Kajai (Idiosinkrasi: penulis kreatif golongan wartawan)
v.    SN Shahnon Ahmad (Idiosinkrasi: kritikan sosial)
vi.   SN A. Samad Said (Idiosinkrasi: perakam mangsa perang)
vii.  SN Arena Wati (Idiosinkrasi: perakam dunia pelaut)
viii. SN Muhammad Hj. Salleh (Idiosinkrasi: Si Tanggang Intelek)/pernah disoal 2000
ix.   SN Noordin Hassan (Idiosinkrasi: Cikgu drama)
x.    SN Abdullah Hussain (Idiosinkrasi: Jalan Ampas ke Kuala Lumpur)
Nota: Idiosinkrasi bermaksud kekhasan; ciri khas yang menonjol; perbedaan individual. Dalam konteks menjawab soalan peperiksaan, hal ini dapat diertikan sebagai keunikan atau keistimewaan karya pengarang berkenaan.
(c) WG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TARGET & SKOR 'A' BAGI 922 KESUSASTERAAN MELAYU

TAHNIAH sebab mengambil keputusan menduduki Kertas 922 Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM. Blog ini diwujudkan sebagai satu ruang dan peluang kepada para calon Kertas 922 mendapatkan maklumat tentang Kertas 922 Kesusasteraan Melayu (terutama bagi para pelajar saya di SMKDPMSR).   Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera maka hal itu akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan anda di peringkat Peperiksaan Awam STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini dan anda masih di Tingkatan Enam Rendah, nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain. Bagaimanapun, jika anda sudah berada di kelas ini melebihi setahun, nasihat saya: Tak perlu menoleh ke belakang; sama ada berminat atau tidak, takluki kelemahan anda dan fokus kepada strategi 'meraih' markah daripada pemeriksa STPM bagi Kertas 922 Kesusasteraan Melayu.     

       Sesekali jangan lupa, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM ini ialah bagi membolehkan pelajar:(a) memahami konsep asas kesusasteraan; (b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan   sifat kesusasteraan Melayu; (c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan; (d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan; (e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera; (f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera; (g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis; (h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan; (i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

     Sebagai guru, saya selalu percaya fokus dan persediaan serapi mungkin amat penting demi keberhasilan seseorang pelajar, bukan sahaja bagi Kertas 922 bahkan juga kertas STPM yang lain. Seandainya masa kira-kira dua tahun sebagai pelajar Pra-Universiti tidak diisi dengan kemahiran yang dapat mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam.  Sentiasalah berkunjung ke blog ini atau 'mengintimkan' diri pelajar dengan maklumat dari blog (rujuk arkib blog ini) ini kerana saya akan sentiasa berusaha memberi segala sesuatu semampu saya yang dapat membantu menyokong usaha penataran keperkasaan Kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

     Percaya dengan saya, anda tidak akan menyesali setiap detik yang anda telah habiskan untuk bergelut dengan ujana kesusasteraan tanah air kita. Di situ bersimpuh akar budaya dan runut jati diri kita sebagai manusia Nusantara dari Malaysia. Memang tidak semua daripada ujana kesusasteraan itu dapat sungguh-sungguh kita kenal namun setidak-tidaknya hal ini menjadikan kita agak berbeza dalam cara yang istimewa. Apakah pada usia Tingkatan Enam, para pelajar masih takut untuk menjadi dan dianggap berbeza daripada pelajar biasa?

     Mari kita takluki setiap teks dan maklumat yang membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM. 

    Saya mengalu-alukan pendapat dan usaha pelajar mengemukakan kemusykilan berkenaan Kertas 922 STPM kepada saya (ecikguwitz@yahoo.com).  Saya akan cuba menjawab semampu saya.

    Salam sukses.