Rabu, 20 Mei 2009

PENA MAGIS: SUKATAN PELAJARAN KERTAS 922 STPM

922 KESUSASTERAAN MELAYU STPM

Matlamat

Matlamat sukatan pelajaran ini adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan pelajar tentang Kesusasteraan Melayu melalui pemelajaran sejarah, teori, kritikan, dan genre sastera. Sukatan pelajaran ini bertujuan untuk menyuburkan pertumbuhan dan perkembangan rohani pelajar menerusi penghayatan karya-karya pilihan yang berfungsi sebagai cerminan kehalusan seni, budi, pemikiran, intelek, penyataan rasa, dan budaya bangsa Melayu.

Objektif

Objektif sukatan pelajaran ini ialah bagi membolehkan pelajar: (a) memahami konsep asas kesusasteraan;  (b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan sifat Kesusasteraan Melayu;   (c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan; (d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan;  (e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera; (f)  menguasai keindahan gaya bahasa sastera;  (g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis;  (h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan;  (i)  menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

Kandungan

Sukatan pelajaran Kesusasteraan Melayu ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu
(a) Kesusasteraan Melayu Tradisional, dan
(b) Kesusasteraan Melayu Moden Malaysia.
 
Bilangan waktu pemelajaran yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran ini adalah anggaran sahaja.

Calon dikehendaki mengkaji teks-teks kajian yang telah ditetapkan.

Bentuk Peperiksaan

Peperiksaan bagi mata pelajaran ini terdiri daripada dua kertas. Calon dikehendaki mengambil kedua-dua kertas, seperti yang berikut:

(a) Kertas 1: KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL, dan
(b) Kertas 2: KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Soalan-soalan yang dikemukakan berdasarkan semua tajuk dalam sukatan pelajaran. Soalan-soalan akan menguji kefahaman calon tentang tajuk-tajuk yang dihuraikan dalam sukatan pelajaran, dan juga konsep serta penghayatan yang perlu dalam kajian Kesusasteraan Melayu.

Kertas 1: Kesusasteraan Melayu Tradisional − 3 jam

Kertas ini terdiri daripada lapan soalan dengan empat bahagian, iaitu Bahagian A, B, C, dan D. Tiap-tiap bahagian mengandungi dua soalan. Calon dikehendaki menjawab empat soalan sahaja: satu soalan daripada setiap bahagian.

Bahagian A: Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional
Bahagian B: Karya Agung
Bahagian C: Prosa Melayu Tradisional
Bahagian D: Puisi Melayu Tradisional

Kertas 2: Kesusasteraan Melayu Moden − 3 jam

Kertas ini terdiri daripada lapan soalan dengan empat bahagian, iaitu Bahagian A, B, C, dan D. Tiap-tiap bahagian mengandungi dua soalan. Calon dikehendaki menjawab empat soalan sahaja: satu soalan daripada setiap bahagian.
Bahagian A: Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden dan Kritikan Sastera
Bahagian B: Novel dan Cerpen*
Bahagian C: Drama
Bahagian D: Sajak

Nota: * Dua soalan dalam bahagian ini boleh terdiri daripada kombinasi dua soalan tentang novel sahaja, atau dua soalan tentang cerpen sahaja, atau satu soalan tentang novel dan satu soalan tentang cerpen.

Teks Kajian

1. BAHAGIAN KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL
(i) Karya Agung
      A. Samad Ahmad (penyelenggara), 2003. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu (Edisi                              Pelajar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
(ii) Prosa Melayu Tradisional dan Puisi Melayu Tradisional
      Majlis Peperiksaan Malaysia (penyelenggara), 2003. Mutiara Sastera Melayu                               Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. BAHAGIAN KESUSASTERAAN MELAYU MODEN
(i) Novel
      Keris Mas, 2003. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan                 Pustaka.
(ii) Cerpen, Drama, dan Sajak
      Majlis Peperiksaan Malaysia (penyelenggara), 2003. Mutiara Sastera Melayu Moden.                   Kuala  Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

NOTA: Tidak ada teks kajian untuk tajuk-tajuk tentang Sejarah Kesusasteraan Melayu              Tradisional dan Moden serta Kritikan Sastera. Calon hendaklah merujuk kepada buku-buku yang dinyatakan dalam Senarai Rujukan (sekadar cadangan) mengikut kehendak sukatan pelajaran bagi bahagian ini.

                                                      [Maklumat ini dipetik sepenuhnya daripada naskhah                                                           Sukatan Pelajaran 922 Kesusasteraan Melayu STPM (Majlis Peperiksaan Malaysia, 2004)]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TARGET & SKOR 'A' BAGI 922 KESUSASTERAAN MELAYU

TAHNIAH sebab mengambil keputusan menduduki Kertas 922 Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM. Blog ini diwujudkan sebagai satu ruang dan peluang kepada para calon Kertas 922 mendapatkan maklumat tentang Kertas 922 Kesusasteraan Melayu (terutama bagi para pelajar saya di SMKDPMSR).   Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera maka hal itu akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan anda di peringkat Peperiksaan Awam STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini dan anda masih di Tingkatan Enam Rendah, nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain. Bagaimanapun, jika anda sudah berada di kelas ini melebihi setahun, nasihat saya: Tak perlu menoleh ke belakang; sama ada berminat atau tidak, takluki kelemahan anda dan fokus kepada strategi 'meraih' markah daripada pemeriksa STPM bagi Kertas 922 Kesusasteraan Melayu.     

       Sesekali jangan lupa, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM ini ialah bagi membolehkan pelajar:(a) memahami konsep asas kesusasteraan; (b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan   sifat kesusasteraan Melayu; (c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan; (d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan; (e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera; (f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera; (g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis; (h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan; (i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

     Sebagai guru, saya selalu percaya fokus dan persediaan serapi mungkin amat penting demi keberhasilan seseorang pelajar, bukan sahaja bagi Kertas 922 bahkan juga kertas STPM yang lain. Seandainya masa kira-kira dua tahun sebagai pelajar Pra-Universiti tidak diisi dengan kemahiran yang dapat mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam.  Sentiasalah berkunjung ke blog ini atau 'mengintimkan' diri pelajar dengan maklumat dari blog (rujuk arkib blog ini) ini kerana saya akan sentiasa berusaha memberi segala sesuatu semampu saya yang dapat membantu menyokong usaha penataran keperkasaan Kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

     Percaya dengan saya, anda tidak akan menyesali setiap detik yang anda telah habiskan untuk bergelut dengan ujana kesusasteraan tanah air kita. Di situ bersimpuh akar budaya dan runut jati diri kita sebagai manusia Nusantara dari Malaysia. Memang tidak semua daripada ujana kesusasteraan itu dapat sungguh-sungguh kita kenal namun setidak-tidaknya hal ini menjadikan kita agak berbeza dalam cara yang istimewa. Apakah pada usia Tingkatan Enam, para pelajar masih takut untuk menjadi dan dianggap berbeza daripada pelajar biasa?

     Mari kita takluki setiap teks dan maklumat yang membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM. 

    Saya mengalu-alukan pendapat dan usaha pelajar mengemukakan kemusykilan berkenaan Kertas 922 STPM kepada saya (ecikguwitz@yahoo.com).  Saya akan cuba menjawab semampu saya.

    Salam sukses.