Jumaat, 22 Mei 2009

PENA MAGIS: SOALAN PETIKAN 'FAVOURITE' 2009 (NOVEL)

BERDASARKAN pola penggubal soalan sebelum ini ada kemungkinan soalan novel pada tahun ini ialah jenis soalan petikan.  Ini bermakna amat penting bagi pelajar untuk berlatih menjawab soalan petikan.  Soalan petikan lazimnya lebih mudah dan pantas dijawab namun amat berbahaya (kerana jika tersilap dari awal, maka sangat besar kemungkinan bagi calon untuk kehilangan markah).

Fokus persediaan bagi menjawab soalan petikan:

a.   Anda memahami setiap peristiwa dalam peringkat plot;

b.  Anda mampu memberi maklumat latar belakang watak (biodata) dan perwatakan watak utama luar dan dalam serta kaitannya dengan setiap watak sampingan;

c.  Anda mengenal isu (baca: persoalan) yang menghubungkan watak utama dengan watak sampingan;

d.   Isu (baca: persoalan) yang menghubungkan watak sampingan dengan watak sampingan yang lain;

e.  Anda mengetahui di mana latar bagi peristiwa dalam petikan;

f.  Anda mengetahui kesudahan peristiwa dalam petikan.

g.  Anda mengetahui teknik (termasuk sudut pandangan) bagi petikan yang ada.

h.  Anda dapat memberi contoh unsur gaya bahasa dalam petikan.


BERIKUT ini ialah petikan 'kegemaran saya'. Saya sengaja memetik sesedikit yang mungkin bagi memaksa pelajar mencari maklumat itu sendiri. Jadikan ini sebagai ulangkaji dengan urutan berikut:

a. Cari penutur dan lawannya bercakap (meskipun petikan yang diberi hanya merujuk kepada satu dialog).  

b. Cari perkaitan watak/watak-watak yang sedang bercakap dengan watak utama

c. Mengapa perbualan itu timbul: kaitkan isu (baca: persoalan)

d. Cari sekurang-kurangnya satu gaya bahasa dalam petikan.

e. Kenal pasti cara Keris Mas menukang cerita (teknik penceritaan) berdasarkan petikan.

Petikan pilihan saya ialah

1.   “Saya tidak lihat ada orang Melayu menjadi saudagar besar seperti orang kita. Dan saya tak pernah dengar mereka pernah berkongsi dengan orang kita. Saya kira mereka bukan orang perniagaan.”
     “Itu sangkaan awak saja. Tapi awak pun benar juga kerana orang Melayu sendiri sudah mulai percaya yang mereka tidak ada tradisi dagang. Itulah sebabnya kita mesti membaca.” (Hal. 14)

2. ‘... Surat itu memberitakan kepergian seorang anak saudara suaminya ke Kuala Lumpur. Anak itu sebenarnya lari dari rumah untuk mencari kerja. Ibunya, kakak Encik Muhammad, minta lihat-lihatkan anaknya itu. Dia takut anak itu menjadi liar bila hidup di kota besar. Ekorannya hebat sekali. Anak itu tidak dapat dikesan oleh Encik Muhammad walaupun dengan bantuan sahabat-sahabat dan pegawai serta kakitangan Encik Muhammad yang mempunyai hubungan dengan berbagai kampung dan kampung setinggan. Dan akhirnya anak itu menghantar seorang mata-mata dari balai polis di mana dia sedang ditahan.’ (Hal. 20)

3.   ‘Kalau dia berjaya nanti mengikuti jejak langkah Encik Muhammad dalam dunia dagang dan perusahaan, ada dua kemungkinan akan dihadapinya. Pertama dia pun akan mewarisi tipu muslihat tidak jujur yang diamalkan oleh saudagar besar itu dan kedua menjadi saudagar pertama yang dapat bersifat jujur.
    Dia tidak hendak memikirkan itu sekarang. Dia belum mempunyai kekuatan dan keberanian.’ (Hal. 267)

4. Bila Sani datang hari telah hampir pukul sepuluh. Kira-kira pukul sebelas nanti dia akan pergi menemui Jahid pula untuk memperolehi laporan-laporan yang mesti disampaikannya esok kepada Encik Muhammad. Dia sangat berharap supaya jangan ada hendaknya bahaya menimpa kegiatan politik Yang Berhormat Muhd. Yusuf kerana kejayaan Yang Berhormat itu perlu untuk masa depan Sani. Kalau Yang Berhormat itu menemui kegagalan dalam kegiatan politiknya, Sani akan menempuh kesukaran sekali lagi. Dan dia berasa bertanggungjawab. Dialah yang memujuk Sani supaya meninggalkan lapangan hidupnya menjadi broker tidak berhujung dahulu itu. (Hal. 293)

5.   Tetapi Mahani tidak mahu berpakaian lekas-lekas. Dia mahu sembahyang Isyak dahulu. Apahal pun upacara sarung cincin itu hanya akan dilakukan lama selepas Isyak nanti. Orang akan datang selepas Isyak membawa cincin tanda dan cincin tunang berserta benda-benda hantaran yang lain. Mereka akan bercakap-cakap, berjanji-janji dan mungkin berpantun-pantun dahulu. Banyak masa untuk sembahyang dan untuk berpakaian. (Hal. 208-9)

6.  “Bersedialah untuk berjuang. Kita akan berjuang menentang Tauke Besar Muhammad bin Datuk Indera Idris dan konco-konconya. Bersedia betul-betul kerana ada kemungkinan di antara konco-konconya itu termasuk orang bernama Tan Sri Syed Aris. Mereka itu ialah pelopor generasi yang menjadi alat pembangunan Malaysia. Oleh sebab itu mereka amat kuat. Kita adalah tergolong dalam generasi ini yang pada hemat mereka akan menjadi moto cita-cita dan perjuangan mereka. Tetapi sebenarnya kita, aku dan engkau, adalah generasi akan datang yang terpencil dari golongannya sendiri. Bersedialah.” (Hal. 211)

7.   Dia berasa bahagia, penuh harapan masa depan. Dan dia berasa bahagia melihat wajah-wajah bahagia di kelilingnya. Tidak mungkin dia akan menjadi penderhaka kepada orang tuanya dan orang tua Rahim. Tetapi dia pasti akan menjadi kongsi suaminya mentang kejahilan generasi pembangunan sekarang yang dipelopori oleh generasi ayahnya dan bakal ayah mentuanya. 
(Hal. 211-2)

8.   “Ayah itu sudah boleh aku baca seperti membaca sebuah buku bergambar. Dia orang baik, warak dengan caranya sendiri. Tidak mungkin dia sedar bahawa dia sedang meruntuhkan kemanusiaan dan segala yang murni dari kemanusiaan bangsanya kerana niatnya memang baik. Dia ingin memajukan dan menolong bangsanya. Tetapi dia lahir dari pemikiran Barat seratus peratus. Dia seorang individualisme Barat yang tulen dan yang ulung. Itulah kesilapannya. Individualisme Barat melahirkan hukum-hukum masyarakat dan kemanusiaan yang sebahagiannya amat buruk. Individualisme Barat hanya kasih sayang sesama manusia selagi kepentingan dan tujuannya terjamin. Ia hanya lebih baik sedikit saja dari komunisme; kebaikan yang hanya lahir pada Sistem tetapi tidak pada tujuan. Kedua-duanya sama menuju kepada sebuah peradaban kebendaan semata-mata.” (Hal. 212)

9. Dia telah membuat keputusan, Imam Saad mesti menjadi Imam Pekan Tualang. Tuk Empat Dahlan mesti menjadi Penghulu Pekan Tualang. Apa pun akan berlaku mesti dihadapi dan diatasi. Dan kalau boleh hendaklah dengan cara yang sebaik-baiknya. Pada waktu penjualan tanah oleh orang-orang Kampung Pulai kepada Syarikat Lombong Lembah Tualang berlaku kelak, waktu itu Imam Saad dan Tuk Empat Dahlan sudah merasakan diri mereka paling sesuai tinggal menetap menjalankan pekerjaan masing-masing di Pekan Tualang. Mereka tidak lagi akan berasa ragu atau syak wasangka untuk menjual tanah mereka. Dan tidak akan ada sesiapa pun yang mempunyai sebab untuk tidak mengikut langkah mereka. (Hal. 183)

10. “Mahani benar-benar percaya sekarang bahawa dari pihak ibu bapa kita, Mahani diharapkan menjadi denak untuk memikat dan menjinakkan seekor jago jalak yang garang. Sebaliknya Mahani fikir Mahani akan menjadi merpati dua sejoli sahaja. (Hal. 231)

11. Memang rancangannya makan bertiga di restoran itu untuk mengorientasi Mahani supaya mudah nanti menyesuaikan diri dengan Rahim. Fikiran untuk orientasi itu datang dari isterinya. Tetapi orientasi yang dimaksudkannya lain. (Dia mahu Mahani faham cara berfikir Rahim dan ingin Mahani dapat menjinakkan sifat pembangkang yang ada dalam jiwa anak itu. Bagi Cik Puan Tipah, orientasinya semata-mata hal orang bersuami isteri sahaja; hal-hal makan minum, rumah tangga, pakai patut dan sebagainya) (Hal. 239)

12.   “Ertinya fikiran Rahim akan diketepikan saja?”
      “Fikiran Rahim akan dihargai kalau dia sudah benar-benar tahu dan mengkaji hal ini. Sekarang di abelum benar-benar tahu. (Hal. 244)

13.  Dia berasa lapang dan tenteram sedikit selepas sembahyang Jumaat itu selesai. Waktu akan pulang dia dan rombongannya disalami oleh Imam Saad, Tuk Empat ahlan, Pak Salim dan yang lain-lain. Jamaludin dan orang muda berjubah itu serta yang lain-lain pun menyalami dia dan rombongannya. Tetapi tatkala dalam kereta ke rumah abangnya, dia masih merasakan kerisauan dan kekusutan dalam hatinya. Apakah salam-salaman itu menandakan pernyataan maaf atas apa yang tadi diucapkan? Dia tidak pasti. Orang kampung begitu halus tingkah laku dan adab sopannya tetapi apa sebenarnya di dalam hati dan fikiran mereka hanya Tuhan yang tahu. (Hal. 262)

14. Tiap kali ayahnya bercakap, Sudin berasa semacam kepedihan dalam dadanya. Dia berasa betapa kutanya, betapa perkasanya Encik Muhammad. Dunia Encik Muhammad seperti larva gunung berapi mengalir dengan lumpur panas dan lidah api menjilat-jilat menghancurkan apa sahaja yang tegak dalam alam yang ditempuhnya. Dunia ayahnya hanya pondok-pondok kebun pisang di lembah sunyi tidak bermaya. Hanya sebuah dunia baru yang akan menyelamatkan ayahnya tetapi dunia baru itu memerlukan tenaga muda yang gigih dan kuat. Dia tidak mempunyai jalan lain melainkan undur ke belakang. (Hal. 320)

15. “Tak usah bimbanglah. Nantikau carikan lawyer. Tapi kau orang kena bayarlah sikit. Duit jual tanah itu nanti bukannya sikit.” Sudin menghibur. Dalam hatinya berkata: lawyer mana pun takkan dapat menolong kamu kali ini. Kejahatan kamu dilakukan di tengah berpuluh-puluh orang. (Hal. 318)

16. “Dan kami diberitahu mungkin dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan nanti,: sambung Imam Saad. (Hal. 317)

17. Tetapi kerjanya masih belum selesai. Tanah Mat Akil baru dibeli oleh Syarikat Lombong Lembah Tualang. (Hal. 318)

18. ‘Dia ingin mencuba mempraktikkan sesuatu muslihat seperti Encik Muhammad. Sekarang dia akan mencari alat untuk muslihatnya sendiri. Ini paling berbahaya kerana apa pun akan terjadi dia tetap akan terus menjadi alat Encik Muhammad. Masa depannya bergantung kepada kepercayaan orang kaya saudagar besar itu. Tetapi dia tidak dapat melupakan saja kepedihan hati ayahnya. Kedua-duanya sekarang harus dipelihara tetapi Lebai Maarup mesti dapat dijadikan alat, khusus untuk menerbitkan sesuatu yang dapat mengubat hati orang tua itu. Kalau dalam hal ini Encik Muhammad akan menjadi korban, jadi korbanlah asalkan jangan ketara dia yang menyebabkannya’ (Hal. 323-4)

(c) WG

PENA MAGIS: KATA BESTARI SN KERIS MAS


[PETIKAN KATA BESTARI SN KERIS MAS DARIPADA NOVEL SBDKL]
Kekayaan tidak boleh bertambah dengan sikap meninggikan diri tetapi kerap kali harus dengan menundukkan kepala sedikit untuk terus dapat menegakkan kuasa. Tidak ada erti membesarkan diri kalau itu akan mengurangkan pengaruh dan kuasa. Kuasalah yang menambahkan peluang untuk memperoleh kekayaan dan kekayaanlah yang menegakkan kuasa.
(Hal. 1)
Kebahagiaan dalam hidup ini datang dari kejayaan-kejayaan mencapai cita-cita
.
(Hal. 22)
Kejatuhan maruah dan kebesaran orang bangsawan semata-mata kerana kelemahan mereka sendiri. Nanti kejatuhan orang-orang besar rakyat juga kerana kelemahan mereka sendiri.
(Hal. 36)
Kod moral dalam dunia dagang sangat kuat tapi sangat runcing seperti jarum
(Hal. 68)
Pada hakikatnya harimau dan kancil itu bukannya musuh tapi lawan. Orang berlawan tak mestinya bermusuh. Harimau tahu betul akan kecerdikan kancil dan sang kancil tahu betul akan kekuatan dan keberanian sang harimau. Mereka beradu hujung jarum untuk sentiasa menyedarkan lawannya akan kebolehan dirinya dan untuk sentiasa mengingatkan dirinya sendirian kebolehan lawan itu. Hasilnya dua-dua dapat hidup, survive.
(Hal. 68)
Berniaga dan berusaha adalah kerja yang sama sekali tidak boleh diganggu oleh emosi dan sentimen. 
(Hal. 118)
Cinta tidak pernah kehilangan erti ... Cinta sebenarnya bukan perkara yang mesti diperkatakan, tetapi mesti dirasai dan dinikmati....
(Hal. 158)
... kasih sayang, cinta dan bahagia sebenarnya bukan sesuatu yang bergantung pada kata-kata. Cinta bukan perkara yang perlu diperkatakan tetapi dirasa, dinikmati dan diamalkan.

(Hal. 210)
Cinta dengan perasaan dan perkataan melulu tidak akan memberikan keselamatan dan kebahagiaan. 
(Hal. 210)

... Kita mesti melengkapkan diri dengan ilmu dan pengalaman tentang hal-ehwal pengurusan. Zaman ini pengurusan amat penting. Kebanyakan kejatuhan perusahaan dan perdagangan orang kita adalah disebabkan kekurangan pengalaman dan kekurangan ilmu pengurusan dagang yang moden. 
(Hal. 193)
Dua masalah, betapa kecil pun, sentiasa lebih sukar diatasi dari satu masalah.
(Hal. 225)
Jaminan mata pencarian sebenarnya tidak boleh digantungkan kepada belas kasihan orang lain, terutama kalau orang lain itu sendiri menggantungkan nasibnya kepada orang lain. 
(Hal. 248)
Kalau mahu hidup, kita mesti berani. Memang perjuangan hidup ini macam itu. Kalau tidak terbilang, hilang. Kalau tidak timbul, tenggelam. 
(Hal. 249)
Pertolongan yang paling baik ialah kerja kuat. Ada orang yang memang tahu dia memerlukan pertolongan tapi tidak mahu kerja kuat. Orang macam ini tidak perlu ditolong. 
(Hal. 274)
Wang banyak boleh menggelapkan mata; boleh segera menjerumuskan manusia ke lembah maksiat. 
(Hal. 312)
Penantian itu membingungkan dan mencemaskan.
(Hal. 316)
Merancangkan masa depan yang lebih indah adalah satu cabaran. Dan menghadapi cabaran menjadikan hidup amat sukar.
(Hal. 332) 
Kelebihan umur menjadi faktor penting dalam menentukan sikap dan kewibawaan seseorang.... Siapakah dapat menafikan pengalaman dan penambahan ilmu berlangsung bersama dengan peningkatan umur.
(Hal. 361)

TARGET & SKOR 'A' BAGI 922 KESUSASTERAAN MELAYU

TAHNIAH sebab mengambil keputusan menduduki Kertas 922 Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM. Blog ini diwujudkan sebagai satu ruang dan peluang kepada para calon Kertas 922 mendapatkan maklumat tentang Kertas 922 Kesusasteraan Melayu (terutama bagi para pelajar saya di SMKDPMSR).   Jika anda berminat dengan bahasa, budaya dan sastera maka hal itu akan menjadi bonus kepada usaha anda menjana kecemerlangan anda di peringkat Peperiksaan Awam STPM nanti. Jika anda agak ragu-ragu dengan keupayaan anda tentang subjek ini dan anda masih di Tingkatan Enam Rendah, nasihat saya: Sila kenali minat dan kecenderungan anda dan beralihlah kepada pakej lain. Bagaimanapun, jika anda sudah berada di kelas ini melebihi setahun, nasihat saya: Tak perlu menoleh ke belakang; sama ada berminat atau tidak, takluki kelemahan anda dan fokus kepada strategi 'meraih' markah daripada pemeriksa STPM bagi Kertas 922 Kesusasteraan Melayu.     

       Sesekali jangan lupa, objektif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan subjek ini di peringkat STPM ini ialah bagi membolehkan pelajar:(a) memahami konsep asas kesusasteraan; (b) mengenali, mendalami, dan menghargai pelbagai jenis dan   sifat kesusasteraan Melayu; (c) mengetahui suasana zaman, persekitaran sosial, latar masyarakat, dan pemikiran yang menghasilkan kesusasteraan; (d) mengesan dan mengambil iktibar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang terungkap dalam kesusasteraan; (e) menguasai kaedah penghayatan seni sastera; (f) menguasai keindahan gaya bahasa sastera; (g) menganalisis dan merumuskan hasil kesusasteraan secara kritis; (h) menghasilkan penulisan esei yang bermutu tentang kesusasteraan; (i) menghasilkan karya kreatif berdasarkan bakat, pengalaman, dan pengetahuan.

     Sebagai guru, saya selalu percaya fokus dan persediaan serapi mungkin amat penting demi keberhasilan seseorang pelajar, bukan sahaja bagi Kertas 922 bahkan juga kertas STPM yang lain. Seandainya masa kira-kira dua tahun sebagai pelajar Pra-Universiti tidak diisi dengan kemahiran yang dapat mempertingkat keupayaan memperoleh gred yang cemerlang, maka sia-sia sahajalah anda menerima tawaran memasuki Tingkatan Enam.  Sentiasalah berkunjung ke blog ini atau 'mengintimkan' diri pelajar dengan maklumat dari blog (rujuk arkib blog ini) ini kerana saya akan sentiasa berusaha memberi segala sesuatu semampu saya yang dapat membantu menyokong usaha penataran keperkasaan Kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

     Percaya dengan saya, anda tidak akan menyesali setiap detik yang anda telah habiskan untuk bergelut dengan ujana kesusasteraan tanah air kita. Di situ bersimpuh akar budaya dan runut jati diri kita sebagai manusia Nusantara dari Malaysia. Memang tidak semua daripada ujana kesusasteraan itu dapat sungguh-sungguh kita kenal namun setidak-tidaknya hal ini menjadikan kita agak berbeza dalam cara yang istimewa. Apakah pada usia Tingkatan Enam, para pelajar masih takut untuk menjadi dan dianggap berbeza daripada pelajar biasa?

     Mari kita takluki setiap teks dan maklumat yang membantu kita mencipta kecemerlangan bersama dalam peperiksaan STPM. 

    Saya mengalu-alukan pendapat dan usaha pelajar mengemukakan kemusykilan berkenaan Kertas 922 STPM kepada saya (ecikguwitz@yahoo.com).  Saya akan cuba menjawab semampu saya.

    Salam sukses.